Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
SEPANG – Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum ketika membuat serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.
Serbuan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira pukul 12.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya telah menjumpai sebanyak 147 bungkusan plastik lutsinar berikat getah yang setiap bungkusan berisi daun ketum dengan anggaran berat 30 kilogram (kg).
“Selain itu, turut dijumpai 15 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum anggaran berat 22.5 liter,” katanya.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa alatan yang digunakan untuk memproses air ketum antaranya satu alat penimbang berat, satu bekas tong ais warna oren, satu alat dapur masak, dan satu periuk.
“Selain itu, turut dirampas satu tong gas 14 kg dan satu jag air berwarna biru serta alat tapis air.
“Sebotol ubat dipercayai ubat batuk dengan anggaran berat100 ml turut dirampas dan nilai rampasan kira-kira RM1,500,”katanya.
Wan Kamarul berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 25 dan 22 tahun.
“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes penagihan dan penjualan ketum sejak lima hingga enam bulan lalu,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE