LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui krisis kecederaan menjadi punca utama pasukannya beraksi hambar pada awal musim ini selepas tewas 0-2 kepada seteru tradisi, Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Difahamkan, sembilan pemain senior The Gunners terpaksa diketepikan seperti Ben White, Gabriel, Thomas Partey, Hector Bellerin, Eddie Nketiah, Alexandre Lacazette, Willian dan Alex Runarsson pada aksi di Emirates kelmarin.
Kata Arteta, apa yang dialami kem Arsenal ketika ini sangat mencabar kerana perlu mempertaruhkan barisan pemain muda selain kapten pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang hanya mampu dimasukkan sebagai pemain simpanan.
“Saya tidak mahu memberi alasan, tetapi saya percaya masalah kecederaan menjadi salah satu punca pasukan gagal mencapai keputusan yang diharapkan pada dua aksi pertama EPL musim ini.
“Secara keseluruhan, kami kehilangan sembilan pemain utama dan mereka semua adalah tonggak senior yang boleh menyumbangkan sesuatu kepada pasukan ini, tetapi pujian juga wajar diberikan kepada semua pemain kami yang diturunkan kali ini kerana mereka memberikan seratus peratus aksi.
“Namun, saya tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal kerana saingan liga ini tidak akan tamat pada penghujung bulan ini. Apa yang pasti, ini adalah cabaran buat pemain agar kembali fokus untuk berada di landasan kemenangan pada aksi akan datang,” katanya.
Arsenal akan mengalihkan tumpuan pada aksi pusingan kedua Piala Liga England menentang West Brom di tempat lawan pada awal pagi Khamis ini sebelum dijadualkan bertemu juara bertahan EPL, Manchester City di Stadium Etihad pada Sabtu. – AGENSI