LONDON – Selepas melakar kejutan meraih pingat emas dalam acara BMX di Sukan Olimpik, jaguh berbasikal Britain, Bethany Shriever sekali lagi mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai juara dunia ketika bersaing di Papendal, Belanda kelmarin.
Shriever yang pernah bekerja sebagai pembantu pengajar untuk membiayai perjalanannya ke Sukan Olimpik berjaya mengatasi ratu BMX dari Colombia, Mariana Pajon untuk meraih emas di Tokyo bulan lalu.
Momentum cemerlang itu digunakan sebaik mungkin oleh Shriever untuk menjulang kemenangan di Kejohanan Dunia UCI BMX 2021 meskipun diberi tentangan hebat pelumba dari Amerika Syarikat dan juga Belanda.
Dua pelumba Belanda, Judy Baauw dan Laura Smulders masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
“Saya beraksi dengan konsisten dan tidak meletakan sebarang tekanan untuk meraih kemenangan di sini. Saya melakukan aksi yang sama ketika menang emas di Tokyo.
“Saya tidak boleh mempercayainya, satu lagi pingat emas dalam genggaman. Ini permulaan terbaik dalam karier dan saya benar-benar teruja dengan kemenangan ini buat kali kedua ini,” kata Shriever.
Sementara itu, dalam acara lelaki, Niek Kimmann dari Belanda turut mengulangi pencapaian pingat emas Tokyo selepas berjaya mengatasi jaguh Perancis, Sylvain Andre dan David Graf dari Switzerland. – AGENSI