Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
HASRAT Liridon Krasniqi untuk kembali menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tertangguh apabila dia akan sekali lagi dipinjamkan ke kelab India, Odisha FC untuk musim 2021-2022.
Perpindahan yang sudah mencapai persetujuan dengan kelab Liga Super India itu diumumkan di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers semalam.
“Kelab Bolasepak JDT telah mencapai persetujuan bersama kelab Liga Super India, Odisha FC untuk pemindahan Liridon Krasniqi secara pinjaman untuk musim 2021-22.
“Odisha juga mempunyai pilihan klausa pembelian sepanjang tempoh pinjaman tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pemain natutalisasi itu menyertai juara Liga Super itu pada penghujung tahun 2019 daripada Melaka United.
Karier pemain tengah itu memuncak ketika bersama pasukan Kedah Darul Aman FC apabila membantu pasukan memenangi Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA pada tahun berikutnya.
Odisha dalam satu kenyataan rasmi memberitahu bahawa pihaknya berbesar hati mengumumkan persetujuan memeterai pemain itu secara pinjaman.
Liridon akan menyertai kelab yang berpangkalan di Bhubaneswar itu bagi edisi kelapan Hero Indian Super League (HISL).
Perkara itu turut dikongsikan di laman Twitter rasmi kelab itu hari ini.
Liridon sebelum ini dipinjamkan bagi tempoh semusim untuk bersama kelab Australia, Newcastle Jets.