PETALING JAYA – Selepas dikecam berhubung kewajarannya membawa anak-anak makan di restoran (dine-in) sehingga memaksa suaminya Nedim mentarbiah netizen, giliran pelakon Nora Danish pula meluahkan cerita sebenar.
Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, dia malas hendak ambil pusing tentang perkara tersebut kerana enggan memanjangkan cerita.
Nora ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia sudah melakukan beberapa perkara yang perlu untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin seperti menelefon pihak restoran untuk menempah sebuah bilik khas tertutup.
“Sebenarnya restoran tempat kami makan itu dekat sahaja. Memang terlalu dekat , jalan kaki pun boleh. Lagi pun restoran tersebut tidak ramai pelanggan dan kami sekeluarga makan dalam bilik tertutup yang ditempah khas.
“Sebab itu saya serta suami dan anak-anak tidak pakai pelitup muka ketika berada dalam restoran tersebut kerana hanya ada kami sahaja berada dalam ruang khas di situ,” ujar Nora.
Ujar isteri kepada Nedim Nazri itu, dia telah menghubungi pihak restoran terbabit untuk memastikan jumlah pengunjung bagi memastikan perancangannya untuk makan bersama keluarga berjalan lancar.
Kata pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit itu, sepatutnya tidak timbul isu atau kritikan apabila dia bersama suami membawa anak-anak makan di luar kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perkara itu asalkan kanak-kanak berumur bawah 17 tahun ada bersama penjaga mereka.
“Saya tidak pernah membiarkan anak-anak keluar sendirian dan akan sentiasa mengawasi mereka. Lagi pun anak-anak saya sebenarnya lagi banyak menghabiskan masa di dalam rumah sahaja dengan bermain permainan video.
“Cuma anak yang bongsu, Mohamed Neqayl yang kini berusia tiga tahun sedikit terkesan sebab dia membesar dalam waktu pandemik Covid-19. Jadi dia tidak puas untuk ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan,” jelas Nora.
Jelasnya lagi, masyarakat hari ini sepatutnya sudah terbiasa dengan kehidupan norma baharu dan tidak ada benda yang patut dipersoalkan.
“Masing-masing kena terima. Saya enggan mengeluh dan menyalahkan takdir. Saya terima sahaja keadaan yang berlaku dan ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kalau nak berani sangat pun, takut juga dijangkiti Covid-19,” katanya.
Terdahulu, tindakan Nora dan suami membawa tiga anak mereka keluar makan di restoran untuk makan malam, kelmarin membuatkan segelintir netizen mempersoalkan tindakannya.
Menerusi satu hantaran dalam Instagramnya, Nora bersama suaminya, Nedim telah membawa tiga anaknya keluar untuk makan malam keluarga dengan kapsyen yang berbunyi: “dinner out with the boys before school starts (keluar makan makan bersama anak-anak sebelum sesi persekolahan bermula).”
Selepas dibangkitkan netizen tentang isu tersebut, Nedim memberitahu apa yang dilakukannya itu adalah tidak salah berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Allah bagi otak untuk fikir dan bila KKM dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi pengumuman, rajin-rajinlah membaca. Kalau malas membaca jadi bodoh dan jangan komen.
“Masuk ke laman web MKN dan sila baca. Kanak-kanak bawah 17 tahun harus ditemani ibu bapa. Sekain,” jawab Nedim. – K! ONLINE