MELAKA – Seorang guru lelaki membuat laporan polis selepas menjadi mangsa peras ugut membabitkan video bogelnya oleh wanita yang baru dikenali menerusi aplikasi Michat, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mangsa berusia 26 tahun itu membuat laporan pada Sabtu lalu selepas suspek meminta wang dan mengugut untuk menyebarkan video bogel berkenaan.
Mengikut laporan dibuat, mangsa mendakwa berkenalan dengan suspek menerusi Michat pada hari sama sebelum meneruskan perbualan melalui panggilan video di aplikasi WhatsApp.
“Mangsa berkenalan dengan wanita terbabit kira-kira dua jam sebelum mereka membuat panggilan video dalam keadaan masing-masing berbogel.
“Selepas lima minit berbual, suspek mematikan panggilan dan menghantar video berdurasi 30 saat memaparkan mangsa dalam keadaan berbogel yang dirakamkan ketika mereka bersembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum membuat laporan polis, mangsa memasukkan sejumlah wang seperti yang diminta dan suspek berjanji untuk memadamkan klip video berkenaan.
“Mangsa yang bimbang video itu tersebar telah memenuhi permintaan suspek dan memasukkan wang RM600 ke dalam akaun bank penama Hernie John.
“Mangsa membuat laporan kerana bimbang akan terus diugut pada masa akan datang,” katanya.
Setakat ini, polis menerima 10 laporan kes pemerasan atau ugutan membabitkan perbuatan lucah hasil perkenalan menerusi media sosial. – K! ONLINE