fbpx

Bekas menteri dipenjara 12 tahun kerana rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JULIARI dirakam di luar sebuah mahkamah di Jakarta hari ini. - AFP

JAKARTA – Seorang bekas menteri hal ehwal sosial Indonesia dipenjara 12 tahun hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah AS$1.2 juta (RM5 juta)  melibatkan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang terjejas akibat pandemik  koronavirus.

Sebuah mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman berat terhadap Juliari Batubara susulan penangkapannya pada Disember tahun lalu, manakala operasi khas membawa kepada penemuan beg pakaian, beg galas dan sejumlah sampul berisi wang tunai.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh dan memerintahkannya membayar denda AS$35,000(RM147,910). Tertuduh akan menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda,” kata Hakim Muhammad Damis semasa perbicaraan tersebut yang berlangsung secara maya kerana faktor keselamatan semasa pandemik.

Bekas ahli politik itu juga diperintahkan membayar ganti rugi setara berjumlah AS$1 juta (RM4.2 juta)  atau menghadapi hukuman dua tahun penjara tambahan, kata mahkamah.

Juliari menerima suapan  wang tunai daripada  dua kontraktor yang diberi kontrak membekalkan pakej makanan asas untuk rakyat Indonesia yang terjejas semasa  pandemik Covid-19, demikian menurut keterangan di mahkamah.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi)  berjanji tidak akan melindungi pegawai yang korup selepas penangkapan Batubara dan menyifatkan dana yang dicuri itu adalah ‘wang rakyat’.

Rasuah masih menjadi masalah besar di Indonesia, di mana ahli-ahli politiknya  dilihat sebagai antara paling korup.

Badan antirasuah negara itu telah menahan sejumlah pegawai awam sejak beberapa tahun lalu,  termasuk bekas menteri perikanan,  Edhy Prabowo. Dia dihukum penjara  lima tahun pada bulan lalu membabitkan kes rasuah berkaitan eksport anak udang kara.

Indonesia merupakan  antara negara paling teruk dilanda Covid-19 dengan hampir empat juta rakyatnya disahkan positif bersama lebih 126,000 kematian, namun angka jangkitan sebenar dipercayai jauh lebih tinggi. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI