fbpx

KWP bantu keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk PPR berasa lega dengan komitmen kerajaan membantu mereka menghadapi pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19.

PETALING JAYA – Bagi membantu meringankan beban kos sara hidup terutamanya penyewa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Antara inisiatif tersebut ialah pengurangan 50 peratus bayaran sewa bulanan kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta di bawah Perbadanan Labuan (PL).

Ia melibatkan masing-masing 38,124 dan 457 unit kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan pengecualian hasil kepada DBKL dan PL sebanyak RM17 juta.

Dianggarkan sejumlah 192,905 penduduk PPR serta PA DBKL dan PL mendapat manfaat tersebut bermula Jun lalu hingga Disember 2021.

Seorang penduduk dari PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur, Rosyita Abdul Rahim, 43, berterima kasih dengan pemberian diskaun tersebut terutamanya selepas suaminya yang bekerja di sektor perhotelan dicutikan tanpa gaji berbulan-bulan lamanya.

“Sekarang suami bekerja sebagai penghantar barang. Saya pula hampir setahun tidak berniaga kuih-muih di pasar berdekatan kerana tiada sambutan. Kes jangkitan Covid-19 di kawasan tempat tinggal kami agak tinggi.

“Baru-baru ini kawasan PPR kami dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Memang tiada langsung pendapatan.

“Sekarang saya cuma buat kuih dan juadah lain jika ada tempahan,” jelas ibu kepada lima cahaya mata itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dia turut mengakui bayaran sewa rumah yang didiami sejak 15 tahun lalu itu ada masanya tertunggak dan berharap inisiatif itu akan diteruskan pada masa depan.

Muhd. Edi

Seorang lagi penduduk dari Setapak, Kuala Lumpur, Muhd. Edi Mohd Riyars, 36, menyambut baik langkah pengurangan sewa sebanyak 50 peratus tersebut memandangkan keluarganya berdepan masalah kewangan yang agak meruncing setelah diberhentikan kerja dan menanggung perbelanjaan anak bongsunya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak lahir.

“Pada perut anak saya yang berusia enam tahun itu ada lubang dan memerlukan lampin pakai buang yang agak banyak.

“Anak sulung saya yang berusia 13 tahun pula kakinya bengkok kerana pendek sebelah.

“Dia sepatutnya menjalani pembedahan memasukkan besi dari paha hingga buku lali tahun ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Edi bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bangunan komersial tetapi telah diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

“Saya tiada pilihan untuk menyara keluarga dan sekarang menjadi penghantar makanan,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI