YAN – Harapan seorang isteri agar suaminya yang hilang dalam kejadian aliran puing di Titi Hayun di siin pada Rabu lalu ditemui selamat bertukar duka apabila mayat lelaki itu ditemui tersangkut di bawah timbunan kayu di sebuah chalet di sini hari ini.
Mangsa, Ridwan Poniman, 61, yang merupakan mayat keenam dan terakhir ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi Pusat Kawalan Bencana (PKB) Titi Hayun pada pukul 12.30 tengah hari.
Menurut Nahrafiza Murhaban, 46, dia hanya menanti khabar berita daripada jiran memandangkan terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil berusia enam, 10 dan 14 tahun.
“Akhirnya menerima perkhabaran kematian suami selepas menunggu kepulangannya sejak Rabu. Hanya anak perempuan sulung berusia 14 tahun yang pergi ke lokasi penemuan suami tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di Hospital Daerah Yan di sini hari ini.
Katanya, kehilangan arwah suami sangat dirasai kerana dia seorang yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi anak-anaknya.
Menceritakan semula kejadian, ujar Nahrafiza, suami sempat menghubunginya pada pukul 3.45 petang pada hari kejadian, namun tidak sempat bercakap kerana talian terputus.
“Kebiasaan dia pulang kerja pukul 6 petang tetapi dia tidak pulang dan saya terus pergi ke rumah majikannya tetapi tiada orang,” ujarnya.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Guar Chempedak setelah selesai proses bedah siasat. – K! ONLINE