LONDON – Satu trend baharu dalam kalangan remaja di Britain diselar kerana membahayakan nyawa dengan cara duduk di atas bumbung lif yang sedang bergerak laju, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menerusi beberapa video yang dikongsikan di media sosial, trend tersebut turut dilakukan oleh kanak-kanak berumur 10 tahun yang memasuki bahagian dalam laluan lif menggunakan kunci yang dijual di eBay pada harga semurah £3 (RM17).
“Hari ini kita akan bercakap mengenai kunci berbentuk segi tiga yang baru dibeli oleh saya.
“Ia digunakan untuk meluncur lif. Saya harap anda suka meluncur ke atas kerana ia akan menjadi hiburan baharu kita,” kata seorang kanak-kanak dalam satu video yang dimuat naik.
Trend tersebut menjadi perhatian banyak pihak termasuk bomba yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘bodoh’.
Seorang anggota bomba dari Suruhanjaya Ketua Bomba Kebangsaan, Mark Hardingham berkata, kegilaan itu boleh membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut dan menyebabkan kecederaan parah.
“Ia juga boleh menghalang tugas anggota bomba dan perkhidmatan kecemasan lain sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. – Agensi