fbpx

Lukis mural frontliner tanda penghargaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan pelajar tersebut bergambar kenangan di hadapan mural yang dilukis mereka.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Sekumpulan 10 pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru di sini berjaya mengabadikan gambar petugas barisan hadapan atau frontline menerusi lukisan mural sempena sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini.

Mereka terdiri daripada pelajar jurusan Pastri, Terapi Kecantikan dan Spa itu dikatakan mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan lukisan cat pada dinding bangunan kolej berkenaan.

Lebih kreatif, penggunaan tayar kereta dan motosikal terpakai serta batang pokok pinang turut dihiasi pada lukisan mural yang bertemakan Malaysia Prihatin.

Wakil pelajar, Siti Nor Nabilah Ishak,19, berkata, ilham seni lukisan itu adalah menerusi hasil perbincangan dengan rakan kumpulannya bersama seorang pensyarah, Siti Madihah Zainol.

“Lukisan mural ini adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan iaitu polis, askar, tentera dan kakitangan kesihatan yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan negara daripada penularan Covid-19.

“Mereka juga sanggup berkorban demi negara dan keluarga serta memainkan peranan penting dalam usaha memerangi wabak itu di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Nabilah memberitahu, dia amat berbangga dan merasakan antara individu paling bertuah setelah diberi peluang buat julung kalinya menghasilkan mural ketika dunia dilanda wabak Covid-19.

“Saya menganggap ia sebagai sejarah dalam hidup sekali gus berpeluang mempamerkan bakat yang terpendam dalam seni lukisan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pengajian Am, Hasnah Hassan pula memberitahu, beliau turut berpuas hati dengan usaha yang dipamerkan pelajar-pelajar tersebut selain dapat menyumbang untuk komuniti kolej berkenaan.

“Hasrat kami menggunakan pendekatan kerja berkumpulan dalam program Merdeka@Komuniti anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Pulau Pinang akhirnya terlaksana dan merupakan satu sejarah baharu untuk Kolej Komuniti Bayan Baru,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI