LONDON – Seorang pelanggan rangkaian restoran piza di Britain terkejut apabila menemui skru dan selak pada sekeping piza yang dipesan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Barton, pada 29 Julai lepas sedang menikmati piza tersebut sebelum menyedari terdapat objek besi melekat dalam keju pada bahagian atas piza itu.
Dia lantas menghubungi restoran berkenaan untuk membuat aduan.
“Sila periksa semula piza anda sebelum makan. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya saya atau orang lain termakan objek tersebut.
“Terdapat isu keselamatan dan kesihatan serta kemungkinan berlakunya insiden tercekik di sini.
“Sila kongsikan kejadian ini kerana ia berkemungkinan menjadi isu yang lebih serius buat orang lain,” tulisnya pada satu hantaran di media sosial.
Pihak restoran berkenaan membuat permohonan maaf atas insiden tersebut.
“Sebaik menerima aduan Barton, kami memohon maaf atas masalah yang dihadapi dan telah membuat siasatan terhadap cawangan tersebut.
“Kami telah mengingatkan pasukan restoran kami mengenai prosedur yang sebetulnya bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berulang lagi pada masa hadapan,” kata pengurusan restoran itu dalam satu kenyataan.
Selepas memohon maaf, pihak restoran itu mengembalikan semula wang kepada Barton. – Agensi