JERANTUT – Bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan sebanyak 160 helai Jalur Gemilang diagihkan untuk dikibarkan di rumah dan kenderaan penduduk sekitar Taman Mat Kilau di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak Zuridan Mohd. Daud berkata, agihan Jalur Gemilang dalam inisiatif program Sepakat@Komuniti itu bertujuan memeriahkan sambutan kemerdekaan negara sekali gus menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
“Program ini dapat membugarkan nilai kecintaan dan menyuburkan solidariti bagi semua kaum untuk mengekalkan sebuah negara harmoni serta aman sejak proklamasi kemerdekaan 64 tahun dahulu.
“Sempena program ini saya turut menyantuni penduduk yang memerlukan dengan sumbangan barang keperluan dapur bagi meringankan perbelanjaan mereka dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),”katanya di Taman Mat Kilau di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pegawai Penerangan Jerantut, Basharuddin Md Yassin dan Pengerusi Surau Taman Mat Kilau, Sabri Rahim.
Menurut Zuridan meskipun berada dalam suasana pandemik Covid-19 namun semangat kemerdekaan setiap rakyat harus terus disemarakkan dan kemerdekaan negara perlu terus dipertahankan.
“Ketika kita bersemangat mengibarkan bendera di rumah dan kenderaan janganlah lupa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan sebagainya kerana kita masih lagi dalam penguatkuasaan PKP,”katanya.
Sementara itu, penduduk Taman Mat Kilau, Sabri Rahim,30, berkata, agihan bendera berkenaan mampu menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan khususnya menitip nilai patriotisme dalam kalangan generasi hari ini.
Ujarnya, agihan bendera itu dapat memastikan semua penduduk tidak mengira kaum yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sama-sama bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929