PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta yang enggan membayar tol di plaza tol akhirnya memalukan diri sendiri apabila dia kemudiannya terkandas dan terpaksa juga membuat pembayaran bagi meneruskan perjalanan.
Rakaman kejadian tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna jalan raya yang bengang apabila kereta dipandunya telah diekori rapat oleh sebuah kereta jenis Proton Waja sehinggalah mereka memasuki lorong pembayaran dipercayai di plaza tol Batu Tiga, Shah Alam.
Berang kerana diekori sebegitu, pemandu berkenaan kemudiannya bertindak bijak memperlahankan kenderaan dan berhenti betul-betul dihadapan palang mengakibatkan Proton Waja tersebut terkandas.
Perkongsian tersebut telah mendapat lebih daripada 86,000 tanda suka termasuk 1,800 komen daripada pengguna media sosial yang bersetuju dengan tindakan itu dan menyifatkan cubaan mengelak membayar tol itu sebagai pentingkan diri sendiri dan merbahaya.
“Nombor plat terpapar tu, kita kumpul setiap nombor kereta yang buat kesalahan begini dan serahkan pada pihak berkaitan agar hidup dia susah di jalan raya macam dia susahkan orang lain,” cadang seorang pengguna dengan nama @Aman.
“Bahaya buat macam ni boleh akibatkan kemalangan, jangan pentingkan diri sendiri dan jangan sokong kata orang tu susah dan sebagainya. Salah tetap salah, jangan sebab kita susah kita susahkan orang lain juga,” tegas seorang lagi pengguna dengan nama @arlan99.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada kejadian telah dilaporkan kepada mana-mana pihak penguatkuasaan atau tidak. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929