SEBERANG PERAI – Seorang aktivis masyarakat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan memfitnah seorang pegawai polis melalui laman sosial Facebook pada Mac lalu.
Tertuduh, Phan Sow Sun, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Zaki Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memfitnah Inspektor R. Kunes Raw dengan menviralkan tiga video dalam pautan Facebook.
Video itu mengandungi tohmahan terhadap Kunes Raw iaitu salah guna kuasa dan tinggal di sebuah rumah kira-kira dua hingga tiga tahun tanpa perjanjian sewa yang akan merosakkan nama pegawai polis berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit, Tower B, Kondominium BM City, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 26 Mac lalu.
Sow Sun didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sow Sun diikat jamin sebanyak RM2,500 sementara menunggu sebutan semula kes pada 29 September depan.
Terdahulu, Sow Sun menarik perhatian apabila sempat membuat rakaman menerusi telefon pintar terhadap wakil media yang sedang merakam kehadirannya ke mahkamah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929