WILAYAH AUTONOMI GREENLAND – Sebilangan saintis meyuarakan kebimbangan terhadap fenomena hujan di puncak tertinggi litupan ais di Greenland kerana mencetuskan petanda lapisan ais mencair pada kadar yang pantas, lapor rangkaian televisyen ABC News kelmarin.
Lapisan ais kedua terbesar dunia selepas Antartika itu mengalami hujan selama beberapa jam pada 14 Ogos lepas, di puncak tertingginya setinggi 3,216 meter.
Secara keseluruhan, sebanyak tujuh bilion tan hujan turun di seluruh Greenland bagi tempoh tiga hari bermula dari 14 Ogos lepas, yang merupakan rekod tertinggi dicatatkan sejak 1950.
“Ini bukan satu petanda yang baik untuk lapisan ais.
“Air pada permukaan ais adalah tidak bagus. Ia akan menjadikan lapisan ais lebih terdedah terhadap pencairan permukaan,” kata pakar glasiologi Pemantauan Bumi Lamont-Doherty dari Universiti Columbia, Indrani Das.
Sementara itu, menurut laporan laman berita The Guardian, paras laut global boleh meningkat sebanyak kira-kira enam meter sekiranya semua ais di Greenland cair, meskipun proses itu akan mengambil masa selama beratus-ratus tahun untuk berlaku.
Bagaimanapun, ekoran beberapa trilion tan ais yang telah hilang dari Greenland sejak 1994, ia telah meningkatkan paras laut serta membahayakan bandar-bandar pinggir pantai di seluruh dunia.
Menurut rangkaian televisyen NBC News, keadaan itu boleh menenggelamkan bandar-bandar seperti Mumbai, New York dan Amsterdam. – Agensi