fbpx

Sayembara satukan peminat bahasa Melayu seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAYEMBARA Bahasa Melayu 2021 bertujuan untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu dan tulisan Jawi supaya tidak lapuk ditelan zaman.

USAHA mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan tulisan Jawi merupakan antara cabaran yang dihadapi masyarakat pada hari ini.

Atas dasar mahu memperjuang dan memartabatkan bahasa Melayu serta warisan tulisan Jawi, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (Depikir) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Sayembara Bahasa Melayu 2021 Peringkat Antarabangsa secara dalam talian baru-baru ini.

Pertandingan itu mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) universiti terbabit. Ia dibuat bagi mengangkat dan melestarikan penggunaan bahasa Melayu dan warisan budaya tulisan Jawi ke peringkat tertinggi.

Pertandingan itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Majlis
Bandaraya Johor Bahru serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di samping itu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, PersatuanPenyair Malaysia serta Majlis Debat Universiti Malaysia turut terlibat dalam
pertandingan berkenaan.

Julung-julung kali diadakan pada tahun ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan meliputi pidato, deklamasi sajak, penulisan esei Jawi dan Rumi.

Presiden Depikir merangkap pengarah program, Muhammad Adhar Zorobi berkata, biarpun terikat dengan norma baharu disebabkan penularan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghentikan usaha mereka memperjuang dan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

KEADAAN pandemik Covid-19 semasa tidak menghalang penganjuran program seperti Sayembara Bahasa Melayu 2021 Peringkat Antarabangsa diadakan secara dalam talian dengan mendapat perhatian dari seluruh dunia.

Katanya, penganjurannya secara online dilihat istimewa kerana tetap meriah dan mendapat sambutan walaupun seluruh dunia masih ‘berperang’ dengan pandemik.

Ujarnya, paling membanggakan apabila pertandingan ini berjaya menarik perhatian ribuan pelajar dari dalam dan luar negara menontonnya secara maya.

“Setiap pertandingan dibuka kepada empat kategori iaitu pelajar sekolah menengah atas dan matrikulasi, mahasiswa Malaysia, mahasiswa
antarabangsa dan mahasiswa Nusantara melibatkan penglibatan pelajar dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Menerusi program tersebut, sebanyak 14 kategori dipertandingkan dan seramai 1,169 penyertaan diterima.

“Hanya 136 hadiah menanti pemenang. Seramai 40 panel hakim pula terdiri daripada pelbagai organisasi dalam dan luar UTM yang menilai dan menentukan pemenang setiap kategori,” terangnya.

Katanya lagi, pertandingan itu turut bertujuan untuk mencungkil bakat kepemimpinan setiap peserta yang menyertainya.

“Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pengucapan awam dan penulisan esei apabila para pelajar mampu mengemukakan idea dengan hujahan bernas berkaitan bahasa dan isu semasa.

“Justeru, pelaksanaan pertandingan ini diharap dapat menjadi platform kepada pelajar dan mahasiswa untuk mempraktikkan warisan bangsa yang tidak ternilai ini supaya tulisan Jawi terus kekal relevan dan tidak tenggelam ditelan zaman,” katanya.

Di samping itu, pertandingan sebegini juga boleh menjadi medan terbaik di peringkat universiti untuk menggilap ‘permata’ yang bernilai dalam kalangan pelajar menjadi seorang pendebat atau pemidato hebat bagi diketengahkan di peringkat tertinggi.

SEORANG peserta menyampaikan hujah bernasnya untuk memikat perhatian juri.

Dalam pada itu, jelas Muhammad Adhar, penyertaan pelajar antarabangsa pada sayembara kali ini turut memberangsangkan.

“Kesemua peserta terlibat terdiri daripada pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir; Jordan World Islamic Science and Education, Jordan; Guangdong Foreign Studies University (GFSU), Sichuan International Studies University serta Guangxi University for Nationalities dari China.

“Selain itu, Nanyang Technology University, Singapura; Universitas Maritim Raja Ali Haji, Universitas Seni Indonesia, Yogyakarta, Universitas Jambi dan Universitas Negeri Semarang (kesemuanya dari Indonesia) turut terlibat menghantar peserta berkemahiran dalam bidang masing-masing.

“Semoga usaha memperkasakan bahasa Melayu merentas sempadan negara tidak kunjung padam dan semangatnya sentiasa mekar.

“Bahasa Melayu sudah tersebar ke seluruh dunia dengan tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI