fbpx

Jodoh, takdir tertunda Remy, Ezza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DENGAN sekali lafaz, Remy sah bergelar suami kepada Ezza Yusof dalam sebuah majlis pernikahan serba ringkas mengikut SOP ketat di Masjid Negara Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

TANGGAL 21 Ogos 2021 menjadi satu tarikh penuh bermakna buat pelakon Remy Ishak dan permaisuri hatinya, Ezza Yusof apabila secara sah disatukan sebagai pasangan suami isteri selepas lapan tahun perkenalan.

Umum mengetahui, hubungan cinta mereka ada pasang surutnya. Pernah hanya berstatus kawan, kemudian mengikat tali pertunangan, namun terputus di tengah jalan. Sudah namanya jodoh, hubungan mereka kembali bercantum. Dua hari lalu, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur, rasmi dan sah di sisi undang-undang agama, mereka menjawat status baharu dalam kehidupan masing-masing.

Benar kata orang, kalau sudah jodoh, takkan ke mana. Andai digenggam kuat, kalau bukan milik kita, pasti terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, kalau untuk kita, mendatang jua. Begitulah perumpamaan yang boleh dipadankan dengan nuansa cinta antara pasangan tersebut.

Remy atau nama lengkapnya, Mohammad Zalimei Ishak memaklumkan kepada HibGlam pada sesi bersama media sehari sebelum pernikahannya bahawa selepas lapan tahun pelayaran hubungan yang penuh ombak badai, dia yakin dan keputusannya bulat bahawa Ezza adalah jodoh yang tertulis di Lauhul Mahfudz buat dirinya.

Lapan tahun perkenalan, Remy pernah cuba mengenali wanita lain ketika tali pertunangan putus di tengah jalan, namun hatinya tetap kembali kepada Ezza. – Foto: @riseandwin.asia (Instagram)

‘Lapan tahun yang panjang’

“Kami dah kenal sejak lapan tahun sudah. Lapan tahun yang panjang. Dalam tempoh tersebut, bermacam-macam perkara telah kami lalui. Liku-liku bermula sebagai kawan, kemudian kami mengukuhkan perhubungan dengan tali pertunangan, namun terputus di tengah jalan.

Alhamdulillah. Tapi itulah orang cakap, kalau sudah jodoh, memang takkan ke mana dan perihal berkenaan berlaku kepada kami. Lapan tahun, selepas timbang tara tambah tolak, saya yakin she’s the one (dialah orangnya),” kata Remy, 39.

Menjelaskan tentang pemilihan tarikh 21 Ogos, kata pelakon filem Pulang itu, pernikahan mereka sebenarnya sudah dirancang lebih awal iaitu pada tahun lalu. Bagaimanapun, disebabkan penularan pandemik Covid-19, banyak perkara yang tertangguh.

“Sebenarnya, niat asal nak melangsungkan perkahwinan pada hari lahir saya iaitu 11 April lalu tetapi kes Covid-19 semakin meningkat pada waktu itu. Memang tak boleh nak teruskan sebab kena jaga keluarga, perasaan masyarakat di luar sana dan juga diri saya serta pasangan.

Kata Remy, Ezza mengenalinya bukan sekadar sebagai Remy Ishak yang hidup dengan limpahan cahaya glamor bahkan dirinya yang sebenar iaitu Mohammad Zalimei Ishak.

“Jadi, kami tangguh pada Syawal lalu sempena mengambil semangat bulan kemenangan. Waktu itu, ingatkan keadaan akan kembali normal. Mulanya fikir nak bernikah dalam hari ke-10 bulan Syawal tapi tetap Allah tak izinkan.

“Kemudian, bincang dengan pihak perempuan, kami sebulat suara pilih satu tarikh selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan, namun keadaan tetap tidak berubah.

“Akhir sekali, kami pilih tarikh 21 Ogos. Cuma awalnya, waktu itu memang rancang mahu nikah di pejabat kadi sahaja tapi alhamdulillah, dapat makluman daripada pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), boleh buat di masjid,” cerita anak seni asal Melaka itu panjang lebar.

Kenali Zalimie Ishak

Melanjutkan bicara, Remy mengakui dalam tempoh lapan tahun perkenalannya dengan Ezza, dia pernah cuba mengenali beberapa wanita lain terutama selepas ikatan pertunangan mereka terputus di tengah jalan.

Bagaimanapun ujarnya, perkenalannya dengan wanita lain tidak membuahkan hasil kerana keserasian terbaik cuma wujud apabila dia bersama Ezza.

“Saya selalu cakap pada diri bahawa saya perlukan seseorang yang memahami dan mengenali diri saya. Bukan hanya kenal sebagai Remy Ishak tapi Zalimie Ishak. Jadi sepanjang mengenali dia, sudah tentu ada pahit manis. Macam-macam berlaku dalam hubungan kami.

“Tiga tahun pertama memang susah nak kenal saya. Malah, selepas kami putus tunang, saya cuba juga kenal dengan orang lain, tapi tak boleh pergi jauh.

Bercakap tentang perancangan keluarga, Remy memaklumkan, dia dan isteri tidak mahu tergesa-gesa memikirkan soal cahaya mata, namun menyerahkan perihal itu kepada Ilahi.

“Saya nampak Ezza adalah wanita yang setia. Dia sentiasa ada di sisi dalam waktu jatuh dan bangun, suka dan duka. Sepanjang tempoh lapan tahun, kami sama-sama saling mengenali dan semakin memahami. Sebab itu saya yakin dia adalah wanita yang tepat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Remy yang cukup dikenali menerusi drama rantaian popular Nur Kasih juga mengaku dalam soal teman hidup, sikap memilih perlu ada kerana pasangan itu adalah teman sepanjang hayat. Bahkan pelakon itu turut membuka perasaan trauma terhadap perceraian.

“Saya lahir daripada sebuah keluarga yang tak sempurna kerana kedua-dua ibu bapa saya bercerai. Jadi sebab itulah saya tidak mahu perceraian berlaku dalam hubungan pernikahan saya dan pasangan.

“Kita bercakap soal hubungan yang dibina sampai ke jannah. Bukan tentang serasi dan kerjaya saja. Biarpun pada awalnya saya bimbang Ezza tak faham saya dan kerjaya dunia glamor, namun semakin matang usianya, dia kini faham.

“Ezza juga tidak melihat saya sebagai seorang aktor dalam dunia glamor. Dialah yang membuatkan dan tarik saya ke bawah untuk sentiasa berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Cahaya mata, titik tolak

Ditebak pertanyaan berhubung soal cahaya mata, Remy tersenyum, namun tidak menolak pelawaan untuk menjawab soalan berkenaan. Walaupun jauh dalam sudut hatinya, masih terlalu awal untuk diajukan perihal tentang perancangan membina keluarga.

Kata Remy, dia dan isteri tidak mahu terlalu tergesa-gesa soal zuriat. Kalau dikurniakan Allah SWT untuk menimang cahaya mata awal, itu dilihat sebagai pemberian rezeki dari Yang Maha Esa.

“Dunia sekarang tak berapa stabil. Ekonomi, kerajaan pun tak stabil. Semua macam berada dalam ketikdakpastian.

“Dua tahun pertama perkahwinan, kita relaks dulu. Kalau ada rezeki, ada lah. Orang kata, tak perlu terlalu fikirkan tentang anak dan sebagainya. Kalau Allah bagi, syukur alhamdulillah.

“Bagaimanapun, untuk ada lebih daripada tiga orang anak dalam tempoh lima tahun pertama (perkahwinan), itu tidak mungkin akan berlaku,” tuturnya jujur.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sesi pernikahan Remy dan Ezza hanya dihadiri pasangan mempelai dan wali kepada pengantin perempuan.

Berkongsi tentang titik tolak membulatkan keputusan untuk memperisterikan Ezza, Remy berkata, selain sedar wanita itu sangat memahami dan mengubah dirinya menjadi seorang lelaki matang, usia yang semakin meningkat juga membuatkannya ingin segera mendirikan rumah tangga.

“Apa yang bagusnya dalam tempoh Covid-19, saya semakin bersifat terbuka. Sebenarnya, membuatkan saya kian sedar betapa sudah lamanya hubungan kami terjalin. Dari segi pemahaman dan peribadi juga semakin berubah. Karakter diri pun semakin matang.

“Saya sendiri dah semakin berumur. Saya sedar makin banyak uban tumbuh. Titik tolaknya, apabila saya nampak uban dalam lubang hidung. Kalau uban di kepala, tak mengapa tapi kalau dalam lubang hidung dah lain macam pula (tertawa).

“jdJadi, saya rasa diri sudah cukup matang untuk buat keputusan dan sebagainya. Untuk Ezza sendiri, dia dah cukup memahami saya dan karakter dia juga semakin matang,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI