PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita di laman sosial Facebook tentang ‘eksperimen sosial’ yang dilakukan bersama suaminya untuk melihat sama ada boleh makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin, dikecam orang ramai.
Menerusi satu tangkap layar perkongsian tersebut yang tular di laman sosial sejak semalam, wanita berkenaan dilihat dengan bangga menceritakan kejayaannya dan suami pergi ke beberapa premis termasuk kedai makan tanpa sebarang masalah.
“Haritu beberapa hari saya buat ‘social experiment’ lepas media beritahu yang dua dos vaksin boleh masuk sana sini yang tiada boleh mereput di rumah. Saja nak cuba semua kedai saya masuk, tiada satu premis pun yang semak saya dua dos ke tidak.
“Suami pun cuba tapi dihalau waktu masuk ke kedai gunting rambut namun akhirnya dia dapat masuk juga ke kedai lain. Jadi lepas ni kita sokong kedai gunting rambut yang betul-betul cari duit sahaja,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Tambah wanita berkenaan, dia dan keluarga turut mencuba nasib pergi bersarapan di sebuah kedai yang tidak dinyatakan lokasinya dan berbangga apabila tiada sebarang semakan dilakukan dan mereka bebas menikmati hidangan tanpa sebarang masalah.
“Siapa kata tak cucuk dua dos tidak boleh dine in? Tanpa dua dos pun kami dah selamat dine in pagi ni. Tiada yang mustahil,” katanya.
Perkongsian wanita tersebut menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati undang-undang yang telah ditetapkan selain pelanggaran prosedur operasi standard secara terang terangan.
“Selepas ini tidak mustahil polis akan buat penguatkuasaan tegas sebab makhluk macam ini. Tapi tidak mengapa, bongkak lah dahulu, lepas ni kalau dah kena tindakan jangan pula meayu buat kutipan,” tegas seorang pengguna dengan nama @derwann.
“Jika dia pilih untuk terima vaksin tidak perlu nak buat eksperimen begini, nampak tak menyusahkan diri sendiri apabila pergi kedai kena halau. Semoga anak-anak tidak mewarisi sifat ibu bapa dia,” ujar @Raziman.
“Anti vaksin ni kebanyakan bodoh ke? Benda ini akan beri kesan pada orang lain jika kau bawa penyakit. Bila kau imbas MySejahtera, rekod kedai tu pun akan rosak sebab ada rekod orang tidak vaksin masuk,” ulas @intanphyla. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929