LIVERPOOL – Kemenangan 2-0 yang dicatatkan oleh Liverpool ke atas Burnley nyata menggembirakan para penyokong setia pasukan itu terutama ketika aksi berlangsung di laman mereka sendiri, Anfield kelmarin.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan tersebut, pengurus mereka, Jurgen Klopp nyata kurang senang dengan aksi keras yang dipamerkan oleh Burnley yang dianggap boleh mendatangkan kecederaan terhadap para pemainnya.
Beberapa perubahan peraturan yang dibuat oleh penganjur Liga Perdana Inggeris menyaksikan pengadil lebih ‘lembut’ terhadap terjahan yang dilakukan, tetapi Klopp menganggap aksi kelmarin sepatutnya tidak berlangsung seperti itu.
“Jika anda mahu melihat aksi sebegitu, lebih baik anda menonton gusti. Ia seperti liga ini kembali 10 ke 15 tahun kebelakang.
“Saya tidak pasti sama ada pengadil membuat keputusan yang betul untuk menjadikan perlawanan ini berlangsung dengan baik. Anda boleh lihat bagaimana kekasaran melibatkan Ashley Barnes, Chris Wood, Virgil Van Dijk dan Joel Matip.
“Mereka kononnya mahu perlawanan berlangsung lebih menarik, tiada gangguan wisel tetapi tiada siapa yang memahami perkara sebenar mengenai itu.
“Kita perlu melindungi pemain, bola sepak tidak seperti itu kerana kalau anda gemarkan kekasaran sebegitu, anda boleh menonton gusti,” katanya.
Perlawanan yang diadili oleh Mike Dean itu menyaksikan Burnley dikesan melakukan 12 kekasaran sepanjang perlawanan, namun tiada layangan kad diberikan terhadap pemain yang terbabit.
Pada aksi berkenaan, Liverpool berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Diogo Jota pada minit ke-19 sebelum Sadio Mane melengkapkan kemenangan dengan gol kedua pada minit ke-69. – AGENSI