MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui para pemainnya memberikan respons yang baik selepas berjaya mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas, Norwich City kelmarin.
Kemenangan itu nyata melegakan Guardiola selepas City bermula langkah kiri pada kempen musim baharu apabila tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur pada aksi pembukaan Liga Perdana England minggu lalu.
“Keputusan ini adalah kesan daripada beberapa perkara yang baik telah kami lakukan. Kami belum berada di puncak dan masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan.
“Kami bekerja keras untuk menjadikan pasukan ini lebih baik dan kami sangat gembira dengan tiga mata pertama untuk musim ini. Saya harap ia bukan yang terakhir buat kami,” katanya.
Sementara itu, Guardiola mengakui selain kemenangan besar itu, perkara yang turut mencuri tumpuannya pada aksi berkenaan adalah persembahan terbaik dipamer oleh penyerangnya, Gabriel Jesus yang terlibat dalam gerakan menghasilkan tiga gol City.
“Dia adalah pemain yang lebih gemar bermain secara bebas di bahagian serangan berbanding diletakkan sebagai penyerang tengah.
“Dia tidak pernah merungut walaupun diturunkan selama lima minit kerana tempoh itu akan digunakan untuk memberikan aksi terbaik. Saya sangat gembira dengan persembahannya, dia terlibat dalam menghasilkan tiga gol dan saya fikir dia seorang pemain penting buat pasukan ini.
Pada aksi tersebut, City membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh hasil jaringan sendiri penjaga gol Norwich, Tim Krul sementara empat lagi gol dijaringkan oleh Jack Grealish, Aymeric Laporte, Raheem Sterling dan Riyad Mahrez. – AGENSI