ROM, Itali – Seorang pelajar menjadi sensasi dalam aplikasi sosial TikTok apabila dia mencacah kod pengimbas sijil vaksinasi pada lengannya dan mengimbas tatunya untuk masuk ke sebuah premis rangkaian restoran makanan segera McDonald’s di Itali, lapor akhbar The Sun semalam.
Andrea Colonnetta, 22, berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenai jenis tatu terbaharunya, namun memilih reka bentuk praktikal itu selepas berbincang dengan artis tatu, Gabriele Pellerone.
Video TikTok yang dimuat naik Pellerone menunjukkan Colonnetta memasuki premis McDonald’s dengan hanya mengangkat tangannya..
Petugas di pintu masuk premis tersebut dilihat mengimbas tatu lelaki itu sebelum video tersebut tamat secara tiba-tiba.
Llengan kiri Colonetta kini dicacah tatu kotak hitam matriks daripada kod respons pantas (QR) yang merupakan pas rasmi untuk memasuki premis awam di Itali.
Katanya, dia telah menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19.
Pas tersebut menunjukkan status koronavirus sama ada individu itu telah menerima vaksin, pulih daripada Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam terakhir.
Sejak 6 Ogos lalu, kod tersebut perlu dipamerkan untuk memasuki pawagam, muzium dan kawasan tertutup lain serta aktiviti makan di dalam restoran.
“Ia merupakan sesuatu yang asli dan saya suka menjadi lain daripada yang lain,” katanya. -Agensi