fbpx

Degil bekerja walaupun pakai gelang pink

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAMPAR – Padah kerana bekerja walaupun dipakaikan gelang merah jambu menyebabkan sembilan pekerja warga asing dan penyelia ditahan di sebuah premis pembekal dan pembungkusan sayur di Kawasan Perindustrian Gopeng semalam.

Penyelia warga tempatan dan pekerjanya yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu diberkas dalam Ops Covid/Ops Patuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, semakan pada gelang tersebut mendapati penyelia dan pekerja terlibat masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 hingga 27 Ogos.

“Siasatan mendapati penyelia premis telah mengarahkan sembilan pekerja lelaki warga asing yang tinggal di aras dua premis berkenaan untuk datang bekerja pada pukul 8 pagi.

“Perintah kuarantin ke atas mereka telah dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang tersebut kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tangkapan dibuat kerana melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kata Hasron Nazri, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI