PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino mengakui pasukannya tidak boleh mendabik dada meskipun berjaya meraih kemenangan pada aksi kedua Ligue 1 Perancis dengan menewaskan Brest 4-2 awal pagi semalam.
Kata Pochettino, aksi yang ditampilkan oleh barisan pemain masih goyah dan jauh daripada kesempurnaan yang dimahukan, terutama apabila benteng pertahanan mudah dibolosi pasukan lawan.
“Ia adalah kemenangan penting dalam memastikan momentum pasukan di awal musim dapat diteruskan, tetapi saya masih belum berpuas hati dengan apa yang ditampilkan pemain.
“Kombinasi pemain baharu dan lama kami masih lagi tercari rentak, selain belum mencapai keserasian yang diharapkan.
“Benteng pertahanan pula masih lagi rapuh sehingga dibolosi dua gol oleh serangan pasukan lawan.
“Justeru, saya mencabar pemain agar mempamerkan aksi yang lebih berkualiti dengan tidak mementingkan prestasi individu, sebaliknya memberi keutamaan dalam aspek berpasukan tidak kira menyerang mahupun bertahan,” katanya.
Pada aksi tersebut, PSG beraksi tanpa dua pemain sensasi, Lionel Messi dan Neymar, tetapi tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata penuh hasil jaringan Ander Herrera, Kylian Mbappe, Angel Di Maria dan Idrissa Gueye.
Sebagai rekod, PSG telah dianggap sebagai kuasa baharu bola sepak Eropah apabila berjaya mendapatkan pemain-pemain bertaraf bintang pada jendela perpindahan kali ini seperti Messi, Gianluigi Donnarumma, Achraf Hakimi, Sergio Ramos dan Georginio Wijnaldum. – AGENSI