BALIK PULAU – Seorang juruteknik kilang didenda RM2,500 atau dipenjara lima hari sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar perintah kuarantin pada 7 Ogos lalu.
Tertuduh, S. Ramesh Kumar, 42, dijatuhkan hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khalijah Mohd. Khalid.
Mengikut pertuduhan, dia didapati melanggar perintah kuarantin yang dikenakan terhadapnya oleh Kementerian Kesihatan selepas berada di lokasi awam iaitu di ruang pameran Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Baru di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 7 Ogos lalu kira-kira pukul 5.45 petang iaitu empat hari sebelum tempoh kuarantinnya sepatutnya berakhir pada 11 Ogos.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Edmund Anthony Hermon.
Difahamkan tertuduh membayar denda tersebut.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan, seorang lelaki yang sepatutnya menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah didapati ingkar arahan apabila dikesan mengunjungi sebuah pameran hartanah dan perabot di Pusat Konvensyen Setia SPICE.
Lelaki itu yang memakai gelang berwarna putih atau gelang individu di bawah pengawasan (PUS) dilihat berada di situ oleh seorang peserta pameran kira-kira pukul 5.45 petang sebelum memaklumkan kepada polis bantuan. – K! ONLINE