KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus kanan Tabung Haji (TH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas tiga pertuduhan menerima rasuah lebih RM170,477 berhubung cadangan kelulusan kerja-kerja ubahsuai pejabat dan kaunter pejabat cawangan TH lima tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh Zaharudin Hamid ,47, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima wang RM170,477 daripada Yusaidi Mohd melalui Amaneez Creative Solution yang didepositkan ke dalam akaun Maybank penama Zanita Hamid.
Wang itu diterima sebagai upah untuk dirinya ketika itu menjawat sebagai Pengurus Kanan Teknikal (Seksyen Pembangunan Hartanah) di Lembaga TH yang telah mencadangkan dua syarikat iaitu Syarikat Consoline Sdn. Bhd. dan Syarikat MNB Engeneering Sdn. Bhd. bagi kerja ubahsuai pejabat/kaunter pejabat TH (IFic) di Ipoh, Perak selain TH Muar, Batu Pahat dan Kluang di Johor dalam kertas kerja untuk kelulusan Mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Tender.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Desa Pandan di sini antara 5 Oktober 2015 hingga 24 Mei 2018.
Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Rashid Sulaiman mencadangkan jumlah jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapordiri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun peguam M. Athimulan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
“Sejak tidak bekerja, anak guam saya mengalami kemurungan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada maahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan
Mahkamah kemudian menetapkan 22 September depan untuk sebulan semula kes. -K!ONLINE