SEREMBAN – Seorang bapa tidak menyangka bunyi dentuman kuat yang didengari dari tingkat lima di Flat Taman Bukit Inai, Nilai di sini malam semalam merupakan tubuh anak perempuannya yang terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika Rusazli Azmi, 40-an, sedang mencari anak perempuannya berusia 13 tahun setelah mangsa dikatakan tiada di rumah.
Menceritakan kejadian tersebut, bapa saudara mangsa Rusazuan Azmi, 33, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi bapa mangsa yang merupakan abangnya.
“Pada waktu itu saya baru saja sampai di rumah selepas pulang dari tempat kerja dan abang saya telefon beritahu anak dia jatuh.
“Saya terus bergegas ke lokasi dan waktu itu arwah masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di Seremban,” katanya yang tinggal di perumahan sama.
Menurut Rusazuan, difahamkan ketika kejadian ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua dengan kakaknya yang berusia 17 tahun.
Risazuan berkata, bagaimanapun pada malam semalam ibu mangsa pulang ke rumah lebih awal dan mendapati dia tiada di rumah.
“Abang saya yang sampai ke rumah kemudiannya mencari mangsa di kawasan sekitar perumahan kami, tapi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seperti ada sesuatu jatuh.
“Dia kemudian berlari ke arah bunyi tersebut tapi sangat mengejutkan kerana yang jatuh itu adalah anaknya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini hari ini.
Jelas Rusazuan, mangsa merupakan anak keempat daripada enam beradik dan ibu bapanya sedang meniaga ketika kejafian berlaku.
“Mengikut kata abang saya (ayah mangsa), arwah sebelum ini tidak menunjukkan yang dia mempunyai masalah dan dalam keadaan baik saja,” katanya.
Sehubungan itu, Rusazuan berharap masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung kematian mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Fazley Ab Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE.