PEMAIN skuasy lelaki No.1 negara, Ng Eain Yow tanpa berselindung mengakui permainannya belum cukup bagus apabila dia tersingkir pada pusingan ketiga kejohanan Terbuka Britain Rabu lalu.
Pada aksi tersebut, dia yang juga pemain No.22 dunia terpaksa akur dengan kehebatan pemain dari Colombia, Miguel Rodriguez apabila tewas 13-15, 13-11, 12-14, 11-8, 4-11.
Kata Eain Yow, meskipun sudah memberikan tentangan sengit pada perlawanan itu, namun kekalahan tersebut mungkin akan menghantuinya buat seketika kerana dia berpeluang untuk menjadi pemenang.
“Secara jujur, saya masih rasa kecewa dengan kekalahan tersebut. Saya fikir ia mungkin membuatkan saya sedih untuk beberapa ketika kerana ia sungguh menyakitkan.
“Saya ada banyak peluang pada perlawanan tersebut, namun gagal dimanfaatkan dengan sebaiknya, terutamanya ketika beraksi pada mata-mata penting,” katanya menerusi lama media sosial Instagram.
Justeru, pemain berusia 23 tahun itu sedia menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna dalam usahanya untuk menjadi salah seorang pemain skuasy terbaik dunia.
“Apa yang pasti, masih banyak yang perlu saya lakukan bagi memperbaiki corak permainan. Saya perlu bekerja lebih keras jika mahu capai sasaran yang diletakkan dalam sukan ini.
“Saya sudah belajar sesuatu yang sangat berharga pada kejohanan ini dan saya yakin ia boleh membantu saya dari segi permainan. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberi sokongan,” ujarnya.