TIDAK dinafikan, daya tahan fizikal adalah salah satu aspek penting dalam sukan bola sepak kerana ia memerlukan pemain menampilkan aksi dengan intensiti tinggi sepanjang lebih 90 minit permainan.
Bagaimanapun, sekadar memiliki ketahanan fizikal yang tinggi masih belum mencukupi kepada setiap pemain sekiranya tidak bermain menggunakan ‘otak’ dan hanya bersandarkan tenaga semata-mata.
Legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff pernah berkata, bola sepak bukanlah sukan yang hanya berteraskan fizikal, tetapi ia turut memerlukan kecerdasan minda bagi menghasilkan sesuatu permainan berkualiti.
Mungkin tidak ramai tahu, kebanyakan pemain pada era kini memiliki tahap pendidikan yang cukup tinggi meskipun berdepan kesibukan untuk menjalani latihan serta mengharungi perlawanan.
Kosmo! menyenaraikan lapan pemain yang dianggap sebagai genius baik di padang bola mahu pun dalam bidang pendidikan berdasarkan pencapaian mereka menerusi tahap pengajian masing-masing.
ANDRES INIESTA
Sebut sahaja nama Iniesta, kebanyakan peminat bola sepak pastinya membayangkan kelincahan bekas pemain Barcelona ini ketika zaman kemuncaknya bersama Xavi Hernandez dan Lionel Messi sehingga dilabel sebagai legenda skuad The Catalan.
Selain bijak di atas padang, pemain kelab Jepun, Vissel Kobe ini juga adalah individu yang berpelajaran tinggi apabila merupakan pemegang ijazah dalam jurusan Biologi dan Sains Sukan. Justeru, tidak hairan mengapa dia dijadikan idola oleh pemain-pemain muda masa kini.
FIKAYO TOMORI
BEK tengah kental AC Milan ini dianggap antara prospek masa depan berdasarkan prestasi memukau ditampilkan bersama The Rossoneri selepas dibeli secara tetap daripada Chelsea musim ini.
Pemain berusia 24 tahun itu bukan sahaja lincah di atas padang, malah dia juga adalah pemegang ijazah Pengurusan Perniagaan sebagai pelan sokongan jika karier bola sepaknya tidak menjadi.
Selain itu, gurunya pernah melabelkan dia sebagai pelajar paling bijak semasa di Gravesend Grammar School.
SIMON MIGNOLET
Pernah dianggap antara penjaga gol terbaik di dunia ketika menyarung jersi Liverpool. Bagaimanapun, selepas enam tahun menabur bakti bersama The Reds, Mignolet mengambil keputusan untuk pulang ke Belgium bersama Club Brugge.
Selain mahir bertutur dalam lima bahasa, penjaga gol berusia 33 tahun ini pernah menerima ijazah dalam jurusan Sains Politik dan Undang-Undang dari University of Leuven, sekali gus dilabelkan antara pemain bola sepak paling bijak di dunia.
“Ketika saya memulakan karier dalam bola sepak, ibu bapa menggesa supaya menyambung pelajaran bersesuaian dengan waktu latihan. Saya sambung pengajian bukan kerana minat tetapi sebagai persediaan jika karier tidak lagi menyinar,” kata Mignolet.
YUTO NAGATOMO
Siapa sangka bekas tonggak pertahanan Inter Milan ini adalah seorang pemain berstatus profesional yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang ekonomi di University of Meiji iaitu salah sebuah pusat pengajian paling popular di Jepun.
Pencapaiannya itu menyaksikan dia sering menjadi sumber rujukan orang ramai selepas menghasilkan dua buah buku mengenai ekonomi moden. Pada masa sama, dia turut mempunyai karier hebat apabila pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia pada 2013.
JUAN MATA
Berdasarkan aksi di atas padang, Mata dianggap antara pemain paling kreatif di dunia apabila banyak menghasilkan hantaran-hantaran berbahaya bersama Manchester United serta ketika menyarung jersi Chelsea dan Valencia.
Justeru, tidak hairanlah otaknya berfungsi dengan baik setiap kali diturunkan bermain dalam sesuatu perlawanan memandangkan dia memiliki dua ijazah iaitu menerusi jurusan Sains Sukan serta Pemasaran dari Universiti Camilo Jose Cela di Madrid, Sepanyol.
GIORGIO CHIELLINI
Pemain ini adalah individu paling penting dalam kejayaan Itali menjulang trofi Euro 2020 menewaskan England di Stadium Wembley bulan lalu. Dia juga dikategorikan sebagai legenda kerana membantu Juventus mendominasi Serie A selama sembilan musim berturut-turut sejak 2012 hingga 2020.
Di sebalik karakter sebagai salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik dunia, Chiellini juga seorang yang sangat bijak apabila menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dan Perdagangan dari University of Turin.
“Kita perlu galakkan lebih ramai pemain bola sepak profesional untuk melanjutkan pelajaran kerana perjalanan hidup ini panjang, bukannya tertumpu pada bola sepak semata-mata,” kata Chiellini.
ROMELU LUKAKU
Dianggap antara penyerang terbaik di dunia ketika ini selepas membantu Inter Milan menjuarai Serie A musim lalu dengan 24 gol sehingga menyaksikan khidmatnya ‘disambar’ semula Chelsea pada jendela perpindahan kali ini.
Meskipun sibuk dengan tugas sebagai pemain bola sepak profesional, namun Lukaku tetap meluangkan masa melanjutkan pengajian sehingga mendapat ijazah dalam jurusan Perhubungan Awam dan Pelancongan. Dia juga dianggap pakar bahasa kerana fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, Perancis, Belanda, Portugis dan Sepanyol.
DUNCAN WATMORE
Meskipun namanya tidaklah sehebat bintang-bintang lain, namun pemain sayap Middlesbrough ini adalah antara individu genius kerana dia merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di University of York.
Tindakannya menyambung pengajian kerana berpendapat karier bola sepak hanyalah sementara dan tidak boleh menampung perbelanjaannya seumur hidup. Selain itu, dia juga pernah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sama di Universiti Newcastle.