KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas terjatuh di landasan sebelum digilis kereta api di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan ia berlaku kira-kira pukul 4.30 petang.
“Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mangsa seorang wanita dilihat berjalan menuju ke tren dan duduk di besi penyambung antara gerabak.
“Sebaik tren tersebut bergerak, mangsa telah terjatuh ke bawah sebelum digilis tren berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tiada dokumen identiti ditemui pada tubuh mangsa. Siasatan masih dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 5 petang untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat selesai kira-kira setengah jam kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – K! ONLINE.