PARIS – Dua pemain tengah Chelsea, Jorginho dan N’Golo Kante serta bintang Manchester City, Kevin De Bruyne tercalon dalam senarai pendek untuk memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan Eropah bagi musim 2020/2021.
Pemenang bagi anugerah berprestij Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu akan diumumkan dalam satu majlis di Istanbul selepas berakhirnya undian saingan musim baharu Liga Juara-Juara pada 26 Ogos ini.
Ketiga-tiga pemain itu layak dicalonkan untuk memenangi anugerah berkenaan terutama Jorginho dan Kante selepas membantu Chelsea merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara musim lalu dan Piala Super Eropah baru-baru ini.
Bagaimanapun, peluang Jorginho dilihat lebih cerah berbanding Kante dan De Bruyne kerana perancang tengah itu turut membantu negaranya, Itali menjuarai saingan Euro 2020 baru-baru ini.
Ini adalah kali pertama tiga nama baharu bakal ditabalkan sebagai pemenang dan merampas gelaran tersebut daripada penyandang terdahulu iaitu penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Sebagai rekod, Cristiano Ronaldo pernah memenanginya pada 2013/14, 2015/16 dan 2016/17, diikuti Lionel Messi (2010/11, 2014/15), Andres Iniesta (2011/12), Franck Ribery (2012/13), Luka Modric (2017/18), Virgil van Dijk (2018/19) dan Lewandowski bagi 20119/20.
Selain itu, Chelsea turut menyaksikan pengurusnya, Thomas Tuchel disenarai pendek untuk memenangi Anugerah Ketua Jurulatih Lelaki Terbaik Eropah bersama-sama Pep Guardiola dan pengendali Itali, Roberto Mancini. – AGENSI