PASUKAN Petaling Jaya (PJ) City FC bertekad menamatkan badi kekalahan menjelang aksi getir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.
Sebagai rekod, The Phoenix mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini dan ketua jurulatihnya, P. Maniam mahu barisan pemain memberikan seratus peratus aksi di atas padang.
Kata Maniam, skuad Harimau Selatan sudah tentu menjadi pilihan memandangkan mereka memiliki barisan pemain berkualiti tetapi situasinya berbeza apabila beraksi di atas padang nanti.
“Kita tahu kualiti yang JDT ada kerana mereka miliki barisan pemain terbaik di Malaysia tidak kira import ataupun tonggak tempatan, semuanya mempunyai kualiti tersendiri.
“Meskipun kami beraksi tanpa pemain import musim ini, barisan pemain saya sering membuktikan apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
“Saya percaya mereka akan memberi saingan sengit bertemu JDT nanti dalam usaha mencuri sekurang-kurangnya satu mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Selangor itu mengakui, pasukannya ketika ini berdepan krisis kecederaan apabila kira-kira enam pemainnya tidak dapat memulakan perlawanan.
“Mungkin akan ada rombakan dalam skuad utama kerana pemain-pemain seperti Darren Lok, Muhammad Syahmi Zamri, K. Gurusamy, S. Subramaniam dan M. Tamil Maran tidak dapat diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan,” katanya. – K! ONLINE