fbpx

Empat pemain Arsenal positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AUBAMEYANG antara salah seorang pemain Arsenal yang positif Covid-19 selain Lacazette, Willian dan Runarsson. - AFP

LONDON – Kem Arsenal terus dirundung malang selepas empat pemain, Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Willian dan Alex Runarsson didapati positif Covid-19 sejak minggu lalu.

Situasi itu pastinya tidak enak untuk didengar oleh peminat-peminat The Gunners menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang juara Eropah, Chelsea di Stadium Emirates pada Ahad ini.

Daripada empat pemain yang dijangkiti virus tersebut, hanya Aubameyang menunjukkan perkembangan positif, namun tidak dapat dipastikan sama ada kapten skuad antarabangsa Gabon itu boleh diturunkan pada perlawanan tersebut.

Lebih parah, Arsenal juga dilaporkan masih belum boleh menggunakan khidmat Thomas Partey, Gabriel dan Eddie Nketiah memandangkan ketiga-tiga pemain itu masih mengalami kecederaan.

Keadaan itu pastinya menambah tekanan buat pengurus, Mikel Arteta yang sememangnya sudah berada dalam keadaan tidak keruan selepas tewas 0-2 kepada pendatang baharu, Brentford pada aksi pembukaan EPL minggu lalu.

Selain itu, hasrat mereka untuk menggunakan khidmat pembelian baharu, Martin Odegaard bertemu Chelsea juga mungkin tidak kesampaian apabila proses visa pemain berkenaan belum selesai.

Situasi huru-hara dialami Arsenal ketika ini pastinya memberi kelebihan buat Chelsea selepas menang 3-0 ke atas Crystal Palace minggu lalu selain kini diperkuatkan dengan ketibaan penyerang berbisa Inter Milan, Romelu Lukaku. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI