fbpx

Warga emas rugi RM88,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang warga emas wanita mengalami kerugian sebanyak RM88,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa dia terlibat dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kejadian di Kuala Krai dekat sini bulan lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia  70-an tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis pada akhir bulan lalu.

Menurutnya, dalam perbualan itu, suspek menyatakan bahawa satu bungkusan kononnya telah dipos oleh mangsa ke Kota Kinabalu yang mengandungi kad pengenalan dan beberapa keping kad bank yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat laporan polis dalam masa dua jam dan sekiranya gagal, suspek akan membuat tangkapan.

“Suspek juga memperdayakan mangsa untuk membuat laporan secara dalam talian tanpa pergi ke balai polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Ahmad Azizul, mangsa yang takut dengan panggilan itu telah mengikut arahan tersebut dengan mendedahkan semua akaun bank yang miliknya.

Katanya, suspek meminta mangsa mengeluarkan wang dan memindahkan ke akaun bank pihak ketiga dengan alasan untuk proses audit terhadap akaun banknya.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi deposit wang berjumlah RM88,000 ke dua akaun bank yang diberikan suspek dalam tempoh 10 hari.

“Curiga dan merasa tertipu dengan transaksi yang dilakukan, mangsa telah tampil membuat laporan polis pada 16 Ogos lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI