PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat Malaysia sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di khalayak ramai.
Bekas Perdana Menteri itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya turut menasihatkan rakyat negara ini berdoa agar sentiasa dilindungi Allah SWT dari virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan ketat.
“Kita perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila kita berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut mengharapkan agar keadaan negara ini dapat beransur pulih dan bangkit menjadi lebih kuat.
“Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, insya-Allah.
“Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
Sementara itu, Muhyiddin berpendapat bahawa jika seseorang individu itu sentiasa berpandu kepada jalan Allah SWT, al-Quran dan Sunnah, beliau yakin dan percaya hidup mereka akan lebih tenang dan bermakna.
“Jangan buat apa yang anda rasakan betul. Lakukan apa yang Allah SWT katakan betul. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929