SHAH ALAM – Padah menimpa seorang pegawai Imigresen apabila didenda RM30,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan rasuah RM1,000 pada 2017 dan 2018 lalu.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas tertuduh, Muhammad Khairunazim Abd. Rahman, 31, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh juga berdepan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Muhammad Khairunazim bagaimanapun membayarnya.
Rozilah dalam penghakimannya menasihati tertuduh supaya bersyukur apabila ditangkap dan dituduh di mahkamah.
“Saya nasihatkan kamu bertaubat, saya harap hukuman ini menjadi kifarah dan kamu betul-betul insaf, minta ampun pada Allah.
“Nasib baik kamu ditangkap. Kamu kata ini kesalahan pertama atau adakah ini kali pertama kamu ditangkap? Kamu patut bersyukur supaya kamu tidak anggap ini (terima rasuah) nikmat,” tegasnya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai pegawai imigresen Gred KP19 didakwa telah diberikan wang tunai masing-masing sebanyak RM200 dan RM800 oleh seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga China dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di Pusat Operasi, Bahagian Kawalan Keselamatan, Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada November 2017 dan di tempat letak kereta pada 10 Januari 2018. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929