SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai, Yan dekat sini pada Rabu lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan sekali beri itu dijangka melibatkan lebih 1,000 keluarga yang kebanyakkan tinggal di kaki gunung tersebut di daerah Yan dan Kuala Muda.
Katanya, bantuan sebanyak RM5,000 juga diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut.
“Buat masa ini kita menerima maklumat sebanyak kira-kira 800 rumah yang terjejas di daerah Yan manakala kira-kira 200 buah rumah lagi di daerah Kuala Muda,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan kejadian kepala air di Taman Lembah Merbok, Tupah dekat sini hari ini.
Katanya, bantuan tersebut disalurkan bagi membantu penduduk terjejas bagi membeli keperluan asas seperti barangan dapur.
“Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu walaupun jumlah itu tidak mencukupi untuk menggantikan barang yang rosak akibat kejadian tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929