PETALING JAYA – Institut Geologi Malaysia (IGM) menyarankan satu kajian bencana geologi menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran dengan diterajui ahli geologi dijalankan di Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya berhubung insiden aliran debris yang setakat ini telah meragut empat nyawa.
Presidennya, Abd. Rasid Jaapar berkata, pihaknya berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk taman geologi dan tapak geologi di seluruh negara.
“Kajian juga disyorkan bersifat merentas disiplin dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi pada masa hadapan.
“Ancaman risiko bencana geologi ini harus dipertingkatkan tahap kesadarannya dan difahami sebaiknya oleh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, IGM sebagai pertubuhan ikhtisas untuk ahli-ahli geologi berpendapat peristiwa bencana geologi dan juga bencana berkaitan geologi sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya sekiranya kajian yang terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana.
Langkah itu selari dengan amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam Rangka Kerja Pengurangan Risiko Bencana Sendai 2015-2030 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDDR).
Terdahulu IGM berkata, kejadian aliran debris pada pukul 5 petang di Taman Geologi Kebangsaan Kebangsaan Gunung Jerai kelmarin memberi impak terhadap kawasan kaki gunung dan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Hujan ekstrem dikatakan antara punca pencetus kejadian dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaporkan Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 millimeter manakala Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan 172mm. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929