fbpx

Barisan Kabinet baharu perlu buat ‘post mortem’ dengan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Barisan kabinet baharu, terutamanya Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menyediakan belanjawan negara perlu membuat ‘post mortem’ pada kadar segera bagi penyediaan pembentangan pra-Bajet 2022 yang dijadualkan dibentangkan Ogos ini.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, situasi semasa cepat berubah dan hal ini dapat dilihat apabila Bajet 2021, yang merupakan belanjawan terbesar dengan nilai RM322 bilion terpaksa ditambah dengan pelbagai pakej rangsangan apabila pelbagai langkah kawalan jangkitan baharu diperkenalkan tahun ini.

Jelasnya, kepentingan rakyat harus dijadikan perhatian utama kerana suasana ekonomi dan sosial makin meruncing, manakala kes baharu Covid-19 terus me­ningkat dengan kehadiran varian baharu yang lebih berbahaya.

“Kerajaan baharu harus mencari sumber kewangan untuk membantu rakyat dan peniaga.

“Bantuan mesti diteruskan sehingga ekonomi betul-betul pulih semula, sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun 2022 kerana masalah pengangguran, muflis dan kesihatan mental terus menghantui kehidupan rakyat.

“Di Singapura misalnya, moratorium diberikan sehingga Jun 2022, ini memberi petunjuk bahawa negara perlu terus membantu rakyat kerana tempoh pemulihan akan mengambil tempoh lebih lama dari jangkaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya tarikh-tarikh pen­ting dalam pembentangan pelan pembangunan ekonomi negara, misalnya Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dianjak ke hadapan disebabkan situasi politik semasa.

Bagaimanapun, Aimi menegaskan sesiapa pun yang mengambil tampuk pemerintahan haruslah bersedia untuk bekerja keras siang dan malam untuk mengejar sasaran yang biasanya tersusun mengikut ja­dual.

“Perancangan ekonomi negara bukanlah mudah, pertama mesti berjaya membawa negara keluar dari kancah kemelut ekonomi dan krisis kesihatan sekarang,” katanya.

Kerajaan dijadualkan membuat pembentangan pra-Bajet pada Ogos, RMK-12 pada September dan Bajet 2022 pada Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI