fbpx

Fenomena ikan puyu bukan kiamat, tetapi rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan ikan puyu naik darat di luar sebuah surau di Tanjong Karang kelmarin.

KUALA SELANGOR – Fenomena ikan puyu naik ke darat yang berlaku di Surau Sulaiman, Tanjong Karang di sini kelmarin, sehingga menggemparkan penduduk sekitar merupakan fenomena biasa berdasarkan keupayaan ikan jenis berkenaan ‘melompat’ keluar dari air.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Abdul Rahman Abdul Wahab memberitahu, fenomena itu juga bukanlah kejadian pelik tetapi merupakan satu bentuk migrasi ikan puyu yang biasanya berlaku semasa musim hujan atau waktu-waktu tertentu.

“Ikan puyu boleh bertahan menggunakan oksigen yang ada di udara melalui organ labirin. Selain itu, ikan ini boleh ‘berjalan’ di darat dengan menggerakkan bahagian bawah badannya yang agak rata dan sirip dada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rakaman video tular di media sosial sejak kelmarin mengenai ratusan ikan puyu yang naik ke darat ketika musim hujan.

PENDUDUK menunjukkan lokasi asal ikan puyu sebelum ditemui di pekarangan Surau Sulaiman, Tanjong Karang kelmarin.

Kejadian itu dikatakan berlaku dalam dua fasa bermula pukul 2.30 petang dan 4 petang sehingga berlarutan selepas Isyak dengan ratusan ikan tersebut dikesan berada di pekara­ngan surau dan mampu bergerak sejauh 10 meter.

Malah, kejadian melibatkan ikan spesies air tawar atau nama saintifiknya, Anabas Testudineus itu turut menarik perhatian penduduk Kampung Sungai Sireh dan Sungai Gulang-Gulang.

Dalam pada itu, Imam Surau Sulaiman, Sapar Rezam Sapri, 44, berkata, keja­dian itu adalah kali pertama berlaku sejak dia bertugas 10 tahun lalu di surau berkenaan.

Katanya, suasana tersebut tidak ubah seperti ‘pesta’ apabila seramai kira-kira 20 orang tidak melepaskan peluang mengutip ikan tersebut yang dianggap rezeki daripada Allah.

Difahamkan, lebih 30 kilogram ikan puyu berjaya dikutip oleh penduduk sekitar.

Beliau memberitahu, pihak­nya enggan mengaitkan isu itu dengan sebarang isu termasuk banjir besar atau petanda kiamat sebaliknya sebagai rezeki kepada para penduduk.

“Sebelum ini ada pemancing meletakkan bubu tiga hari, namun hanya tiga ekor ‘melekat’. Ikan puyu kalau dijual harganya mencecahRM18 sekilogram,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI