fbpx

Benci, cinta jangan sampai berlebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TAASUB. Hanya satu perkataan tetapi impaknya mampu membutakan hati seseorang jika tidak mampu dikawal dengan baik.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, taasub membawa maksud kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang.

Perkataan lain yang boleh menggambarkan taasub ialah fanatik. Hari ini, ketaasuban seseorang bukan saja terhadap golongan selebriti tetapi juga ahli politik, agamawan dan pempe­ngaruh media sosial.

Namun, sayangnya pada hari ini, terdapat segelintir daripada kita yang gagal untuk mengawal rasa ketaasuban mereka terhadap individu lain.

Paling mengecewakan ialah apabila ketaasuban tersebut te­lah membuatkan ‘peminat’ buta hati sehingga tidak tahu membezakan keburukan ataupun kebaikan individu yang mereka minati.

Realiti tersebut ligat berlegar-legar dalam media sosial pada hari ini apabila terdapat sekumpulan peminat fanatik yang terlalu mengagung-agungkan individu yang mereka minati.

Mengulas mengenai perkara tersebut, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman berlata, isu taasub dalam kalangan masyarakat adalah sikap yang paling dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.

Ujar Ahmad Husni, sikap taa­sub juga mampu membuatkan hati seseorang itu dikaburkan dengan perkara baik sehingga sukar untuk menerima kekurangan orang lain.

“Tidak kiralah taasub terhadap keluarga, individu mahupun pandangan dalam agama. Semua itu sangat dilarang dalam agama kerana kita seharusnya bersederhana dalam setiap perkara.

“Apa yang penting ialah kita perlu utamakan kebenaran. Ja­nganlah bersikap terlalu defensif hanya kerana minat yang terlalu agung terhadap seseorang atau pemikiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, setiap manusia juga perlu mempunyai sikap terbuka dalam diri bagi mengelakkan hati dan jiwa mudah terpesong dengan satu kepercayaan dan minat.

“Inilah perkara jahiliah yang dihalang oleh Nabi kerana taasub akan membawa kepada perselisihan faham sesama manusia dan perkara itu tidak membawa kebaikan sekali gus membuatkan hubungan sesama manusia rapuh.

“Perlu sentiasa semat dalam hati, sekagum mana pun kita pada selebriti atau agamawan, sedarlah bahawa mereka juga manusia yang mempunyai kelemahan.

“Justeru, minat mahu pun benci terhadap seseorang biarlah berpada-pada. Jauhilah buta hati hanya kerana taasub terhadap seseorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni sempat menitipkan sepotong hadis yang menasihatkan agar manusia sentiasa berpada-pada dalam melahirkan rasa cintanya kepada orang lain.

Sebagaimana dalam hadis Riwayat Abu Hurairah: Nabi Muhammad SAW bersabda, cintailah seseorang itu berpada-pada kerana dikhuatiri dia akan menjadi seseorang yang kamu benci satu hari nanti.

“Manakala bencilah seseorang berpada-pada kerana dikhuatiri kamu akan mencintainya satu hari nanti,” katanya lagi.

Konklusinya, minat terhadap mana-mana individu atau sesuatu perkara janganlah secara berlebih-lebihan kerana dikhua­tiri boleh memesongkan hati dan akidah seseorang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI