SEOUL – Sebuah mahkamah Korea Selatan mengarahkan supaya aset Mitsubishi di negara berkenaan dirampas berhubung penggunaan buruh paksa oleh gergasi industri Jepun itu semasa Perang Dunia Kedua, demikian menurut beberapa laporan hari ini.
Jepun dan Korea Selatan adalah negara demokrasi, pasaran ekonomi dan sekutu Amerika Syarikat tetapi hubungan kedua-dua negara tegang selama beberapa dekad berikutan pemerintahan kolonial Tokyo yang kejam pada tahun 1910-45 di Semenanjung Korea.
Kira-kira 780,000 rakyat Korea dijadikan buruh paksa sepanjang 35 tahun pendudukan Jepun, demikian menurut data Seoul, tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seks.
Dalam keputusan bersejarah pada 2018, Mahkamah Agung Korea Selatan memerintahkan Mitsubishi Heavy Industries membayar ganti rugi kepada segelintir mangsa tetapi firma Jepun itu menolak untuk mematuhi keputusan tersebut.
Pada awal bulan ini, keluarga empat mangsa yang masih hidup meminta mahkamah merampas sukuk Mitsubishi di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Mahkamah Daerah Suwon cawangan Anyang memerintahkan penyitaan bon bernilai sekitar AS$750,000(RM3 juta) yang dimiliki syarikat Jepun itu dalam firma LS Mtron iaitu pengeluar mesin industri Korea Selatan.
“Kami meminta Mitsubishi untuk mengakui fakta sejarah dan meminta maaf serta memberikan pampasan kepada mangsa,”
“Sekiranya Mitsubishi terus menolak untuk mematuhi keputusan mahkamah, kami akan mengumpulkan bonnya dari LS Mtron berdasarkan perintah pemungutan,”Yonhap memetik firma guaman mewakili plaintif sebagai berkata.
Jepun menyatakan bahawa hak mangsa untuk mengemukakan saman berhubung perkara itu terbatal ekoran perjanjian 1965 yang menyaksikan Seoul dan Tokyo memulihkan hubungan diplomatik termasuk pemberian pakej pemulihan sebanyak AS$800 juta (RM3.3 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman murah. – AFP