fbpx

‘Saya sudah seram sejuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDULLAH (kiri) dan Noor Suzana (kanan) bersyukur selepas Hafizh tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan pada perlumbaan GP Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin. FACEBOOK OFFICIAL FAN CLUB HAFIZH

‘Ini risiko perlu ditanggung Hafizh’

AYAH kepada pelumba negara Hafizh Syahrin, Abdullah Harun mengakui dia reda selepas me­ngetahui anaknya terlibat dalam kemalangan mencemaskan semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin.

Abdullah yang menyaksikan saingan itu bersama keluarga hanya berserah kepada Allah dan mengakui kemalangan tersebut merupakan risiko yang akan dialami anak kesayangannya sebaik sahaja memilih untuk bergelar seorang pelumba.

“Ketika kemalangan itu berlaku, saya sedar Hafizh yang terlibat dalam insiden tersebut. Perkara pertama yang terlintas pada fikiran saya adalah semoga Allah selamatkan dia.

“Kita lihat insiden tersebut, Hafizh langsung tidak mampu mengelak dan terpaksa merempuh jentera Bastianini hingga menyebabkan dia terpelanting. Ketika itu Hafizh sedang memecut laju di laluan lurus dan saya yakin dia tidak mampu mengelak dengan situasi berkenaan.

“Keadaan ngeri dengan jentera berkecai dan Hafizh pun tercampak beberapa meter menyebabkan badan saya mulai seram sejuk, saya tidak dapat cakap apa-apa, hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Ketika itu saya hanya minta Allah selamatkan dia.

“Apa pun, sejak Hafizh me­nyertai perlumbaan motosikal, saya kena reda dengan sukan yang dia ceburi. Kemalangan ini tidak dijangka dalam perlumbaan dan saya terima seada­nya. Ini adalah risiko yang perlu Hafizh tempuhi untuk bergelar pelumba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Abdullah turut berharap anaknya itu tidak berputus asa dan berehat untuk melakukan persiapan menjelang perlumbaan seterusnya di litar yang sama di Red Bull Ring.

“Selama 13 tahun Hafizh memulakan karier sebagai pelumba, ini adalah kemalangan yang pa­ling teruk saya pernah lihat. Saya bersyukur dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Saya harap Hafizh terus berehat dan tidak mudah me­ngalah. Anggap insiden ini sebagai pembakar semangat untuk dia terus melangkah lebih jauh. Saya harap Hafizh mampu meneruskan perlumbaan akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, isteri pelumba Moto2 negara, Noor Suzana Abdul Manaf meluahkan rasa ­syukur selepas suaminya, Hafizh Syahrin disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Masa saya tengok kemala­ngan itu saya harap itu bukan suami saya (Hafizh). Bila saya tahu, saya begitu risau dan berdoa agar suami saya selamat,” katanya.

Hafizh disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius, malah hanya mengakui me­rasai sakit di dua-dua bahagian kakinya. Kini pelumba berusia 26 tersebut terpaksa menggunakan tongkat untuk berdiri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI