fbpx

Niat murni Andrejczyk lelong pingat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDREJCZYK memperagakan pingat perak Olimpik yang dimenanginya di Tokyo. - AFP

LONDON – Begitu mulia tindakan bintang olahraga Poland, Maria Andrejczyk apabila sanggup melelong pingat perak dimenanginya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 semata-mata mahu menyelamatkan nyawa seorang bayi di negaranya untuk menjalani pembedahan.

Atlet berusia 25 tahun itu yang meraih tempat kedua acara rejam lembing di Tokyo, Jepun, bertekad untuk menjual pingat pertamanya di pentas Olimpik tersebut dengan nilai AS$125,000 (RM525,000) dalam laman sosial Facebook.

Lelongan untuk mengumpul dana itu bertujuan bagi memastikan bayi lelaki berusia lapan bulan, Miloszek Malysa dapat diterbangkan segera ke Amerika Syarikat untuk menjalani pembedahan.

“Malysa mengalami masalah jantung yang serius dan dia memerlukan pembedahan segera. Ibu bapanya tidak berputus asa berusaha mendapatkan dana bagi menyelamatkan anak mereka.

“Mungkin dengan cara ini saya juga dapat membantunya, jadi saya memilih untuk melelong pingat perak Olimpik ini,” kata Andrejczyk.

ANDREJCZYK meraih pingat perak Olimpik dalam acara rejam lembing di Tokyo baru-baru ini. – AFP

Tindakan Andrejczyk yang melelong pingat Olimpik tersebut mendapat liputan meluas sehingga menyaksikan sebuah rangkaian pasar raya di Poland iaitu Zabka telah membelinya dengan harga AS$265,000 (RM1.12 juta).

Usaha Zabka layak mendapat pujian kerana tidak mahu mengambil pingat itu, sebaliknya meminta Andrejczyk menyimpannya kerana ia adalah hasil kerja keras atlet berkenaan yang telah membanggakan Poland di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, Andrejczyk pernah disahkan menghidap penyakit sinus osteosarcoma dua tahun lalu iaitu sejenis kanser tulang yang menyebabkan sakit kepala berterusan dan hampir-hampir meragut peluangnya ke Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Andrejczyk bernasib baik apabila kanser itu berjaya dikesan awal dan hanya perlu melakukan pembedahan tanpa menjalani rawatan kemoterapi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI