TURIN – Bintang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo menempelak khabar angin tidak berasas yang mengaitkan namanya dengan beberapa spekulasi perpindahan membabitkan Manchester City, Real Madrid dan Paris Saint-Germain.
Media-media di Eropah ketika ini hangat memainkan isu Ronaldo, 36, bakal berhijrah menyertai City dengan yuran perpindahan serendah £25 juta (RM145.45 juta) sebagai prospek baharu jika gagal membeli penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Juventus dikatakan sedia menjual Ronaldo daripada kehilangan khidmat pemenang lima Ballon d’Or itu secara percuma kerana dia akan menjadi ejen bebas apabila kontraknya tamat musim depan.
Bagaimanapun, Ronaldo tampil menjelaskan perkara sebenar dengan menepis dakwaan itu kerana fokusnya hanya terarah kepada Juventus.
“Saya rasa tidak dihormati sebagai seorang manusia dan pemain bola sepak profesional. Media ambil remeh bercerita mengenai masa depan saya dan tidak menghormati kelab-kelab yang dikaitkan.
“Kisah saya di Real Madrid adalah sejarah. Perkataan dan nombor, trofi serta kejuaraan semuanya direkodkan di tajuk-tajuk utama. Ia ada di muzium di Stadium Bernabeu dan juga dalam fikiran semua penyokong kelab itu.
“Sekarang, terlalu banyak berita dalam pelbagai bahasa mengaitkan saya dengan beberapa kelab. Tiada siapa ambil peduli dan berusaha untuk mencari kebenaran sebenar.
“Saya tak boleh berdiam diri lagi dan membiarkan orang terus menggunakan nama saya. Saya fokus dan komited kepada karier serta cabaran sekarang. Hal-hal lain hanyalah cakap kosong,” kata Ronaldo.
Walaupun nilai perpindahan Ronaldo rendah tetapi tidak banyak kelab mampu menandatangani kapten Portugal itu disebabkan gaji tahunannya yang tinggi dianggarkan berjumlah £25.5 juta (RM148.36 juta). – AGENSI