fbpx

Harimau Selatan nafi buru khidmat Falcao

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JDT tidak berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain seperti Falcao disebabkan pandemik Covid-19.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan desas-desus mahupun spekulasi mengaitkan kelab tersebut berminat untuk menandatangani penyerang Colombia yang juga bintang kelab Turki, Galatasaray, Radamel Falcao.

Penga­rah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab tersebut menegaskan, perkara itu hanya sekadar khabar angin semata-mata.

“JDT ingin menjelaskan bahawa kami tidak membuat sebarang tawaran kepada Radamel Falcao seperti mana yang dilaporkan oleh media. Berita tersebut adalah khabar angin semata-mata.

“JDT tidak berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Co­vid-19,” katanya semalam.

Prest memberitahu, JDT mungkin akan berupaya membawa masuk pemain antarabangsa dengan status sedemikian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun lagi untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

“Kami juga perlu lebih berhemah dalam per­belanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan,” ujarnya.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai khabar angin JDT mahu membawa masuk pemain tersebut untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia.

Perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular bola sepak dari Malaysia telah membuat tawaran untuk mendapatkan Falcao.

Falcao, 35, pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.

Khabar angin itu turut menyebabkan ada pihak mengedit maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan.

“Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.

“Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin me­lakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis Twitter Fotomac.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI