MARAN – Kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung selama ini akibat Covid-19 merupakan ujian besar buat seorang suri rumah, Nurhaslin Mohd. Suhaimi Udaya, 30.
Dalam keadaan anak kecil berusia tiga tahun dan lima bulan yang belum mengerti apa-apa, membuatkan kesedihan terus menyelubungi Nurhaslin setiap kali memikirkan nasib kedua-dua anaknya itu.
Nurhaslin berkata, suaminya Muhamad Izzmanudin Ibrahim,34, disahkan positif Covid-19 pada 11 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu
Dia yang berkahwin pada 2017 berkata, biarpun masih trauma dengan kejadian itu, dia perlu segera mencari pekerjaan bagi menyediakan keperluan dan membina masa depan buat dua anaknya itu.
“Saya sangat sedih tidak dapat bersama suami pada saat akhir, saya kehilangan suara dan menangis melihat keadaan suami yang sedang nazak ketika doktor meminta saya mengajar pengucap kalimah syahadat.
“Perasaan sedih pilu tentunya akan menyelubungi dan yang pasti kerinduan yang tidak berpenghujung, namun saya perlu bekerja untuk membesarkan dua anak yang masih kecil serta membayar sewa rumah di
Taman Bukit Jalil (Kuala Lumpur),” katanya di sini semalam.
Menurut Nurhaslin, dia dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Izz Thaqil Thalhah Muhamad Izzmanudin, 3, dan Muhammad Izz Qays Qarizh, 5 bulan.
Katanya, pada masa ini dia yang berasal dari Mentakab tinggal bersama ibu mentuanya di Kampung Kuala Sentul di sini, sebelum merancang pulang mencari pekerjaan di Kuala Lumpur dalam waktu terdekat.
“Saya hanya ada sijil kejururawatan dan saya mahu segera mencari pekerjaan yang sesuai bagi meneruskan kehidupan dan membina masa depan serta memenuhi keperluan dua anak yang masih kecil,” ujarnya.-K! ONLINE