LONDON – Penyerang utama Tottenham Hotspur, Harry Kane dilaporkan sudah tidak ‘sebulu’ dengan pengerusi kelab, Daniel Levy yang didakwa tidak mengotakan janji membenarkannya berhijrah pada jendela perpindahan kali ini.
Difahamkan, Kane sebelum ini sudah mencapai perjanjian lisan dengan Levy yang memberi ‘lampu hijau’ untuk dia berhijrah jika Spurs gagal meraih slot automatik ke kancah Liga Juara-Juara musim ini.
Spurs hanya menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan Kane percaya dia sudah sebelah kaki untuk keluar daripada skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos ini.
Bagaimanapun, Levy dilihat masih bermain ‘tarik tali’ meskipun Manchester City secara terbuka sudah menyatakan hasrat untuk menandatangani kapten England itu yang dikatakan telah bersetuju dengan terma kontrak daripada skuad juara bertahan tersebut.
Namun, Levy tetap berkeras kerana enggan menurunkan harga pasaran Kane yang dipercayai mencecah nilai £150 juta (RM872.6 juta) sedangkan City dikatakan telah mengeluarkan bidaan rasmi sebanyak £125 juta (RM727.2 juta) minggu ini.
Meskipun terpalit dengan isu perpindahan, namun Kane, 28, tetap menghormati kontraknya apabila dilaporkan bersedia diturunkan jika diperlukan oleh Espirito Santo.
Sebagai rekod, Kane sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama awal minggu ini.
Kane yang masih memiliki kontrak bersama Spurs sehingga 2024, dijangka diturunkan buat kali pertama dalam saingan musim ini menghadapi aksi EPL menentang Wolverhampton Wanderers di laman sendiri pada Ahad ini. – AGENSI