fbpx

Tatap wajah isteri sebelum dijemput ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam ambulans di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kerap menatap wajah isteri menjadi petanda seorang pemandu ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) akan pergi selama-lamanya selepas terlibat nahas dengan sebuah lori di Kilometer 9.7, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Skudai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.58 pagi itu, mangsa, Shamsul Shamshuri, 49, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah selepas tersepit di kerusi pemandu.

Kejadian itu berlaku selepas kenderaan yang dipandu mangsa melanggar belakang sebuah lori.

Anak saudara mangsa, Nur Shafika Ooyob, 33, berkata, ibu saudaranya yang juga isteri arwah, Roslina Abdullah, 43, memaklumkan suaminya kerap menatap wajahnya sejak kebelakangan ini.

“Apabila isterinya menyedari perkara itu, dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Setelah ditanya arwah hanya tersenyum dan menjawab tiada apa-apa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Arwah Shamsul

Cerita Nur Shafika, mereka sekeluarga mengetahui kejadian yang menimpa arwah menerusi panggilan telefon sebelum bergegas ke Hospital Sultanah Aminah di sini

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi kakitangan KKM dikatakan dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kluang menuju ke Hospital Permai di sini untuk mengambil bekalan vaksin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal memberitahu, seramai 14 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Empat kakitangan KKM ­berusia 26 hingga 49 tahun terperangkap di dalam ambulans. Kami mengunakan alat pemotong bagi mengeluarkan ke­semua mangsa yang mengambil masa kira-kira 11 minit.

“Pihak kami dimaklumkan ambulans tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI