PETALING JAYA – Berkat doa ibu tersayang, pelakon Mas Khan memiliki sebuah kereta mewah jenama Porsche yang dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit Malaysia.
Mas Khan atau nama lengkapnya, Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 27, berkongsi berita membanggakan itu menerusi satu hantaran status dalam Instagram.
Kata pelakon Abang Long Fadil 2 itu, rezeki yang dikurniakan itu adalah berkat membahagiakan orang tua terutama ibunya.
“Syukur Alhamdulilah terima kasih ya Allah. Ini berkat doa ibu, berkat saya manjakan ibu dan bapa saya, berkat saya gembirakan keluarga. Rahmat ini saya dapat, nikmat ini semua kerana Dia (Allah).
“Betul Tuhan tak biarkan hamba-Nya sendirian, dengan usaha semata-mata kita boleh ubah hidup kita sekelip mata dengan izin-Nya dan berkat keluarga kita. Yang penting kalau kita berkehendak inginkan sesuatu, kita mampu capai. Insha-Allah,” katanya dalam perkongsian video tersebut.
Tambah Mas Khan, bukan kereta mewah berkenaan yang ingin digembar-gemburkan tetapi percaya bahawa sifat sabar adalah kunci kepada segala kejayaan dalam kehidupan.
“Sabarlah dalam perjuangan, sabarlah bila jatuh dan sabarlah apabila hendak meniti jalan, yang menang selalu pada akhir cerita.
“Bukan Porsche yang ingin saya sampaikan, tapi nilai kereta berkenaan yang buat saya menilai hidup dari perspektif yang berbeza,” ujarnya yang turut mendedahkan nombor pendaftaran kenderaan yang tertera namanya.
Rata-rata netizen meninggalkan komen positif dengan ucapan tahniah dalam ruangan komen perkongsian status berkenaan. – K! ONLINE